Daily Calendar

Friday, 18 November 2011

REFLEKSI MIKROPENGAJARAN

1    KELEMAHAN
Hari ini saya menjalankan mikropengajaran di Tahun 4. Kelas ini mempunyai 28 orang murid iaitu 15 orang murid lelaki dan 13 orang murid perempuan. Subjek mikropengajaran saya laksanakan ialah Matematik. Semasa menjalankan mikropengajaran, saya menjemput Ketua Panitia Matematik iaitu Cikgu Lee Chiu Xia untuk menyertai mikropengajaran tersebut. Beliau telah mengajar subjek Matematik selama 16 tahun. Daripada maklum balas Cikgu Lee, saya dapati bahawa terdapat dua puluh tiga orang murid masih belum menguasai kemahiran menyelesaikan masalah operasi darab bagi nombor dua digit dengan nombor dua digit. Hal ini dapat dibuktikan selepas saya dan Cikgu Lee menanda dan menyemak buku latihan murid-murid yang berkenaan.

2    KEKUATAN
            Saya yakin bahawa saya dapat menyelesaikan masalah tersebut berdasarkan  beberapa kekuatan yang ada pada saya. Antaranya ialah saya mempunyai rakan sejawat yang sanggup memberi cadangan dan idea yang baik untuk menyelesaikan masalah ini. Sebagainya contohnya, Cikgu Lee yang berpengalaman telah bersedia untuk memberi cadangan yang baik kepada saya untuk membantu murid-murid tersebut menguasai kemahiran menyelesaikan masalah yang melibatkan operasi darab. Selain itu, guru besar juga sentiasa memberi sokongan yang kuat kepada saya. Dengan adanya sokongan daripada guru besar dari segi peralatan dan tunjuk ajar, saya berasa lebih berkeyakinan untuk mengatasi masalah tersebut.
            Di samping itu, sekolah saya mempunyai keadaan yang konduktif dan sesuai untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Sekolah saya juga dilengkapi dengan alat bantu mengajar yang canggih seperti laptop, LCD, televisyen, radio dan lain-lain lagi. Alat bantu mengajar ini dapat membantu saya semasa menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Dengan adanya alat bantu mengajar ini, saya dapat menarik perhatian murid untuk terhadap pengajaran saya.  Hal ini demikian kerana saya telah menggunakan teknik variasi ransangan dalam menyampaikan pengajaran.  Maka proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan adalah lebih bermakna. Selain itu, murid-murid saya merupakan murid yang normal dan mempunyai kesihatan yang baik. Murid yang normal dan mempunyai badan yang sihat serta otak yang cergas berupaya untuk memahami pengajaran saya dengan lebih berkesan.  
           
            Selain itu, saya juga akan menggunakan teori-teori yang disarankan dalam konstruktivisime dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran saya. Menurut teori konstruktivisime, murid akan membina idea sendiri berdasarkan pengetahuan lepas mereka.  Manakala guru hanya bertindak sebagai fasilitator sahaja.  Proses pembelajaran melalui cara ini adalah lebih bermakna kerana di samping mendapat ilmu pengetahuan, mereka juga belajar untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan rakan-rakan dalam melaksanakan satu tugasan yang diberi oleh guru.  Pemahaman saya terhadap teori ini dapat meningkatkan tahap penguasaan murid-murid terhadap masalah yang melibatkan operasi darab.

3    LANGKAH MENGATASI
            Selepas berbincang dengan Cikgu Lee, saya telah mengambil keputusan untuk menjalankan satu kajian tindakan. Objektif kajian tindakan ini adalah untuk mengenalpasti kelemahan-kelemahan murid dalam menyelesaikan masalah yang melibatkan operasi darab bagi nombor dua digit dengan nombor dua digit. Kajian ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman murid dalam menyelesaikan masalah yang melibatkan operasi darab bagi nombor dua digit dengan nombor dua digit dengan menggunakan langkah-langkah yang dicadangkan dalam Model Polya iaitu memahami masalah, merancang strategi, melaksanakan strategi dan menyemak semula. Sebagai langkah pertama, saya akan membimbing murid–murid memahami masalah dengan mengenalpasti item yang hendak dicari dan dijawab. Seterusnya saya akan membimbing murid-murid merancang strategi untuk menyelesaian masalah Matematik. Kemudian saya akan membimbing murid-murid melaksanakan strategi untuk menyelesaikan masalah. Langkah terakhir saya ialah membimbing murid-murid menyemak jawapan dengan mencari cara yang lain untuk menyelesaikan masalah matematik yang sama. Saya akan membimbing murid-murid menggunakan cara songsang seperti jawapan yang didapati daripada operasi darab boleh disemak dengan operasi bahagi.
            Dengan adanya kajian tindakan ini, saya berharap bahawa murid dapat menyelesaikan soalan yang masalah Matematik dalam keadaan yang lebih sistematik.  Di samping itu, saya juga berharap bahawa murid-murid saya dapat meningkatkan penguasaan mereka terhadap sifir 2 hingga sifir 9.  Dengan adanya penguasaan sifir yang kukuh, mereka akan berasa lebih berkeyakinan dalam menghadapi sebarang soalan yang melibatkan operasi darab.