Tuesday 25 October 2011

KSSR : Kurikulum Standard Sekolah Rendah

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap Satu mulai 2011. Peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” adalah amat bertepatan sekali.


Transformasi kurikulum di peringkat sekolah rendah iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang memerlukan akauntabiliti guru untuk memastikan semua murid melepasi piawai standard yang ditetapkan bagi mengatasi masalah murid keciciran. Antara justifikasi perubahan kurikulum ini ialah ianya bersifat dinamik dimana pertambahan dan pengurangan kandungan modul yang disertakan boleh dilakukan tanpa menjejaskan keseluruhan modul. Ia juga memperkenalkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel dimana guru mempunyai pilihan untuk menggunakan modul tersebut mengikut kesesuaian.

Pada 19 hingga 23 September 2011 saya berpeluang mengikuti kursus Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Matematik Tahun 2 yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat. Pada masa ini saya terlibat secara langsung dalam pengurusan atau pelaksanaan KSSR. Saya amat berminat untuk mengetahui dan memahami lebih banyak berkenaan KSSR. Sekurang-kurangnya ia adalah pengetahuan asas tentang kurikulum standard berkenaan adalah input berguna yang bukan sahaja perlu diketahui oleh guru atau pihak pengurusan pendidikan, tetapi termasuklah juga ibu bapa.

No comments:

Post a Comment